BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Thursday, November 11, 2010

Penat

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera.

Hari ini saya terasa yang sama amat 'penat'. Terlalu penat sehingga saya lemas. Terlalu penat sehingga saya berasa sangat tidak keruan.

Saya terduduk dan hampir-hampir tidak larat untuk bangun semula. Terlalu 'penat'!!! Semasa saya duduk itu, saya sempat merenung diri. Saya juga sempat bertanya kepada diri saya sendiri..mengapa? Mengapa saya menjadi begitu kepenatan? Saya terus mencari-cari jawapan.

Terkadang saya merasakan bahawa kepenatan ini sesuatu yang tidak wajar berlaku. Terutama kepada diri saya. Saya tidak seharusnya berasa penat. Segala yang saya lakukan merupakan pilihan saya sendiri. Maka, saya tidak sepatutnya penat melakukan sesuatu yang saya gemari; sesuatu yang saya pilih sendiri, sesuatu yang telah saya laksanakan sejak sekian lama. Justeru...kenapa saya mesti kepenatan?

Lantas saya mencari jawapan seikhlasnya. Mungkinkah kerana sesuatu yang saya gemari dulu tidak lagi menjadi kegembiraan buat saya hari ini? Mungkinkah juga kerana ada perkara lain yang mengganggu ketenangan rutin saya? Ahhh!!!segalanya mungkin.

Bagaimanapun, saya tetap percaya bahawa sesuatu yang berlaku itu ada sebab dan musababnya. Tidak ada unsur 'tiba-tiba' di alam nyata ini. Saya akui, ada perkara yang 'mengganggu' saya sejak akhir-akhir ini. Segala ketidakseronokan yang saya alami sehari-hari inilah yang pastinya telah menyerap banyak tenaga saya. Banyak yang mengganggu sehingga saya menjadi 'penat'.

Saya 'penat' kerana terpaksa meneruskan rutin seperti biasa meskipun saya terganggu kerananya. Saya juga terpaksa berdepan dengan situasi-situasi yang menyesakkan jiwa dan minda saya hampir setiap hari. maka...sudah tentulah saya 'kepenatan'.

Bagaimanapun, saya tahu yang saya tidak boleh tunduk kepada kepenatan saya ini. Saya tahu bahawa saya tidak boleh terus duduk dan mengaku kalah. Saya juga sedar bahawa saya tidak boleh terus-terusan berasa 'penat' kerana saya ada tugas dan tanggung jawab. Oleh yang demikian, saya cuba mengalih pandangan. saya berusaha memujuk hati dan rasa agar terus bangkit dan berdiri.

Akhirnya, saya kembali meneruskan hari-hari saya seadanya. Meskipun langkah saya sedikit lambat, saya terus juga melangkah. Meski saya sedikt lelah, saya tidak akan sekali-kali mengaku kalah. saya mungkin berehat, tapi saya pasti tidak akan berhenti.

Akhirnya, di sebalik rasa 'penat' ini, saya bersyukur kerana diberikan peluang untuk terus memperbaiki diri. Mudah-mudahan saja saya diberikan kelapangan hati untuk menempuh hari-hari yang mendatang. Mudah-mudahan juga saya diberikan kekuatan dan kesabaran dalam menjalankan setiap kewajipan dan tanggung jawab saya. InsyaAllah.