BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Sunday, November 20, 2011

Sabarlah hati

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera, Ada orang kata, buat baik berpada-pada dan buat jahat jangan sekali. Hari ini aku mengingatkan diri sendiri agar jangan sesekali lupa akan kata-kata hikmat itu. Ikut hati, pasti masti. Ikut rasa, pasti binasa...begitulah. Ikutkan hati mahu saja aku menjerit-jerit dan menghadiahkan sebakul sumpah seranah kepada mereka yang sudah terlalu sering menyakitkan hati aku. Namun, aku bersyukur kerana aku masih sedar diri. Walau luka di hati, aku tidak mahu menjadi insan 'seburuk' orang yang menyakiti hatiku. Biarlah. Ada orang berkata, aku bagai mangsa buli. Seorang yang bagai tidak berdaya menangkis segalanya. Hatiku terluka lagi. Namun, aku juga masih waras.We can't wash mud with mud right? Aku bukan merelakan diriku diperlaku semau mereka, tetapi sekali lagi aku memilih untuk tidak jadi seperti mereka. Aku yakin dan pasti bahawa sesungguhnya ALLAH itu maha mengetahui, maha adil dan maha mengasihi. Pastinya dugaan yang diberi ini masih mampu kutanggung meski dengan susah dan payah. Alhamdulillah kerana ujian-Mu, mudah-mudahan semua ini akan mengajar aku untuk lebih sabar dan tidak gelojoh mengikut kata hati. Bagaimanapun, aku juga punya hati budi. Aku juga punya akal fikir dan aku juga berhak untuk bertindak andai itu menjadi satu keperluan yang tidak boleh dielakkan. Maka aku akhirnya menetapkan satu had, satu garis yang kalau boleh tidak mahu kulangkah. Mungkin sudah tiba masanya aku membuat sesuatu agar 'manusia-manusia sempurna' ini melihat orang lain bukan hanya dengan mata, tapi juga dengan mata hati. Aku tidak mahu bermuka-muka. Aku juga sudah jemu melihat sikap mereka yang bagai ....(aku kehilangan kata-kata baik kala mengenangnya, dahsyat sungguh!) Salahkah aku menetapkan had dan jangkaan sebegitu? Aku sedang berfikir untuk berpada-pada dalam berbuat baik. Bukan bererti aku hendak berbuat jahat, na'uzubillah...aku cuma mahu berkata "Cukuplah". Aku tidak mahu berlaku buruk cuma aku berusaha mengelak keadaan daripada menjadi lebih buruk. Maka dengan itu, aku memujuk diri agar terus bersabar, bersabar dan bersabar. Andai kesabaran yang separuh itu juga aku sudah tak punya, maka aku aku tahu yang aku sudah melangkau garisanku.... Sehingga detik itu, berdoalah aku agar semua itu tidak bakal berlaku. Insyaallah

Thursday, October 20, 2011

No longer...

You might regret putting an end to something that once made you smile. You might even cry your eyes out whenever you miss the way it used to be. But, remember that time heals almost everything. And time will come you'll no longer cry when you remember it...

Thursday, August 11, 2011

Kisah hati...

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera.

Terkadang, hati perlu menerima bahawa kisah hidup tidak selamanya indah. Namun, tidak bererti duka itu bakal ada selamanya. Sesekali hati perlu menutup mata agar duka tidak dirasa hadirnya. Meski luka...tapi hidup perlu diteruskan. Kisah hati terkadang bagaikan satu mimpi, tidak abadi tapi pasti terkesan di hati...

Now Playing : Alyah-Kisah HatiHQ

allowscriptaccess="always">

Monday, August 1, 2011

Alhamdulillah

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera.

Setelah mengambil sedikit masa untuk berdukacita, akhirnya aku tahu bahawa masanya sudah tiba untuk aku terus melangkah. Kadang-kadang untuk melangkah itu kita mengambil sedikit masa untuk meyakinkan diri sendiri. Bukan meyakinkan diri untuk pergi, tetapi meyakinkan diri untuk berani meninggalkan apa-apa yang dulunya terlalu dekat dan bermakna dalam kehidupan kita. Sememangnya ianya bukanlah satu pengalaman yang menarik, bahkan terlalu memeritkan. Namun, itulah kehidupan.

Demi aku yang masih hidup, aku tahu bahawa hidupku tidak ternoktah dengan episod luka itu. Meski parutnya masih merah, aku yakin aku mampu mengharunginya. Sesiapapun pastinya pernah luka, kecewa dan menderita...kan? Tapi aku yakin, tidak semua akan kekal hidup dalam kedukaan. Aku sendiri tidak mahu menjadi seorang yang berjiwa walang! Cukuplah!

Hari ini, aku tinggalkan di sini secebis kenangan dukaku. Ditinggalkan tidak semestinya dilupakan. Mustahil kita mampu melupakan sesuatu yang pernah mewarnai hidup, tapi...sekadar aku mengingat dan tahu agar aku tidak terpedaya buat kali keduanya. Mudah-mudahan aku diberikan kekuatan untuk meneruskan perjalananku. Mudah-mudahan juga pengalaman itu mengajar aku untuk lebih waspada dan berhati-hati. Terima kasih Ya Allah kerana memberikan aku nikmat hidup sekali ini. Alhamdulillah

Friday, June 10, 2011

To believe...

To believe is to know that every day
is a new beginning.
It is to trust that miracles happen,
and dreams really do come true.

To believe is to know the value of a nurturing heart,
The innocence of a child's eyes
and the beauty of an aging hand,
for it is through their teachings we learn to love.

To believe is to find the strength
and courage that lies within us.
When it is time to pick up the pieces and begin again.

To believe is to know we are not alone,
That life is a gift and this is our time to cherish it.
To believe is to know that wonderful surprises
are just waiting to happen,
And all our hopes and dreams are within reach.
If only we believe.

Monday, May 9, 2011

Perjalananku...

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera.

Malam ini genap seminggu aku berkampung di wad ini. Meneman anak kecilku yang manis pada saat-saat sukar dalam hidupnya. Sungguh pengalaman di satu sudut dunia ini mengajar aku erti kemanusiaan. Aku meyaksi kesakitan dan kedukaan. Aku melihat kelahiran dan kematian. Aku turut berkongsi senyum dan tangis. Aku turut menikmati saat-saat kesabaran dan keyakinan teruji.

Di hujung katil kecil ini aku melihat bagaimana kasihnya ibu dan juga bapa yang berjaga tanpa pernah lena kala mengharapkan kesembuhan anak yang tercinta. Aku turut berasa duka kala melihat anak kecil yang tidak terpeduli bahkan tidak pernah dibelai pada saat-saat kesakitan menghiris rasa. Aku bagai tidak percaya kala melihat wanita yang bagai hilang keibuannya apabila sabarnya hilang dicuri masa, ataukah dia memang lebih menyayangi kecantikan dan kebebasannya dari mengelap segala peluh, muntah dan darah anak yang belum mengenal dosa.

Di sini juga terbukti betapa kemanusiaan masih berharga. Tanpa kenal siapa dan dari mana, setiap susah dikongsi jua meski sekadar berkongsi termos dan minyak angin cuma. Meski sekadar berkongsi cerita, meski sekadar berkongsi duka dan kesedihan. Tanpa sedar ada hubungan yang terjalin antara hati-hati yang polos dan suci. Kala manyaksi wajah gembira yang melangkah pergi, ada sayu yang melilit di tangkai hati. Rupanya Tuhan masih mahu menguji kesabaran dan kesediaanku mendepani segala ranjau duri. Meski payah, namun aku reda. Inilah dugaanku.

Seminggu di sini aku bagai mengikat simpul mati dengan ahli keluarga dan teman-teman rapatku. Meski sekadar menjenguk dan bertanya khabar, itu sudah cukup memadai bagiku. Doa dan sokongan amat mahal harganya kala kita diuji dengan kepayahan. Namun aku bersyukur dan amat berterima kasih kerana ingatan dan doa yang kami terima masih belum ada hentinya. Tuhan memberikan aku nikmat kasih sayang yang amat aku hargai dan aku syukuri...alhamdulillah.

Ada yang bertanya bagaimana aku mampu menempuh keperitan sebegini. Hati ibu mana yang tidak luka kala anaknya diuji dengan kesakitan? Hatiku luluh tiap kali gadis kecilku menangis dan merintih. Tiap kali aku memujuknya untuk disuntik atau diambil darah, aku terasa bagaikan mahu menggantinya. Biarlah kesakitan itu diberi pada ibu, janganlah kesakitan itu diberi pada anak-anakku. Begitulah. Namun aku pasrah dan reda. Kami dipilih untuk diuji kali ini. Aku yakin bahawa Tuhan tidak menguji kita dengan sesuatu yang tidak mampu kita hadapi. Maka kupujuk hati dan mindaku agar bersabar dan reda akan ketentuan ini.

Alhamdulillah, selepas seminggu aku masih boleh bertahan. walau aku belum tahu bilakah masanya kami boleh pulang? tapi aku yakin esok pasti menjelang. Kupujuk anak kecilku agar bersabar, kupujuk hati sendiri agar reda, kupujuk semuanya agar terus sama-sama berdoa, mudah-mudahan ujian ini memberi makna yang tersirat buat kita semua. Mudah-mudahan juga gadis kecilku bakal diberikan kesembuhan yang tidak menyakitkan dirinya. Mudah-mudahan perjalanan kemanusiaan lewat kesakitan ini mengajar aku untuk lebih menghargai dan bersyukur. InsyaAllah...

Tuesday, May 3, 2011

Bagai ada

Bagai ada luka yang bisu
kala melihat airmata menitis
dari hati yang tulus.

Bagai ada rasa yang mahu pergi
kala mendengar rintih
lewat duka yang resah.

Bagai ingin kuganti tempatmu
agar gelisah dan pedih
tidak lagi mencuri senyum
dari bibirmu.







5.28am/030511

Friday, April 8, 2011

Perindu...

Kala rindu berbisik
kata-kata bagai hilang jiwanya
lantaran hening mewarnai
tiap ruang hati
hingga aku bagai terlupa
bahawa rasa itu milikmu jua.

Kala sepi menyapa
suara bagai hilang maknanya
lantaran hati membeku
meski mentari tak pernah sirna hangatnya
hingga aku terleka
bahawa rasa itu tidak selamanya ada.

Kala rindu bertamu
resah bagai enggan pergi
lantaran sepi menemani
tiap naluri emosi
aku yang sendiri di sudut ini.

Namun
Biarkan rinduku berbisik padamu
agar kau tahu bahawa aku tetap menunggu
di tiap detik itu
hingga ke akhir waktu kau kembali padaku.

Monday, March 21, 2011

Aku tak bisa...

Seandai kau tahu apa yang kumahu...

Sunday, March 20, 2011

Penghujung mimpi.

Di balik awan biru
ada segaris rasa yang terlalu,
pada bulan yang tidak lagi senyum padaku.
sedang angin tetap membisik lagu
meski malam enggan bicara.
Di garis rasa yang keliru itu
senyum tidak lagi milikku,
kala angin menitip ragu
tentang bicara rasa luka
yang pedihnya membias lara.
Kala bulan menghindar wajah
hati kian pasrah,
malamku sampai ke penghujung mimpi.
memeluk sepi sendiri,
dan aku tidak lagi bernyanyi.

Wednesday, March 16, 2011

Kurang dan lebih...

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera...

Ada kalanya kita menganggapkan bahawa kitalah antara insan yang tidak bertuah di dunia ini. Kita juga cenderung melihat kepada 'kekurangan' kita berbanding orang lain yang punya segala 'kelebihan'. Aku juga tidak terlepas daripada perasaan yang sedemikan. Sebagai seorang manusia biasa, semua itu lumrah...kan? (Mungkin itulah juga yang menjadi penyebab kepada meningkatnya jumlah 'orang sakit jiwa' di negara kita.)

Aku cuba untuk tidak terlalu melihat kepada kekurangan. Hakikatnya? hati kadang-kadang sukar dipujuk. Ketika aku berasa bahawa aku ini kekurangan, aku cuba melihat di sekeliling...dan pasti ada insan lain yang juga memiliki sesuatu yang lebih kurang dari aku. Pada saat aku rasa aku tidak cukup, ada orang lain yang langsung tak punya apa. Itulah hakikat kehidupan. Tidak ada seorangpun yang diciptakan dengan segala kesempurnaan.

Aku selalu berpesan kepada diriku sendiri...hargailah setiap satu yang ada sebelum tiada. Kekurangan juga boleh menjadi suatu nikmat dan ubat kepada orang yang mahu berfikir. Ada yang berkata bahawa bercakap tidak semudah kita hendak melaksana. Memang betul! Namun kita tidak akan tahu selagi kita tidak mencuba untuk berusaha. Maka...daripada kita hanya berkata, lebih molek rasanya kalau kita mencuba dan berusaha untuk terus mencuba.

Aku selalu membayangkan...'kalaulah... aku boleh menjadi seperti orang lain', kemudiannya? aku terfikir di luar sana akan ada juga orang lain yang berkata..'kalaulah..aku boleh jadi seperti dia...' Ungkapan 'kalaulah...' itu seolah tidak akan ada akhirnya. Maka aku senyum sendiri, pada saat kita mahu menjadi orang lain, ada orang lain yang mahu menjadi seperti kita. Akhirnya? kita semua serupa! Manusia biasa yang tidak pernah puas dan ada kalanya seolah tidak tahu bersyukur! Benarkan?

Maka, aku dengan segala kekurangan yang ada pada diriku dan kehidupanku ini...amat bersyukur dengan setiap satu yang ada dalam hidupku tika dan saat ini. Andai kehidupanku ini berubah..aku pasti belum tahu bagaimana hendak mendepaninya. Aku pasti segala yang ada kini, itulah yang sebenarnya menjadikan diri ini sebagai seorang 'aku'...baik dan buruknya, itulah aku!

Mudah-mudahan saja aku terus diberikan kelapangan hati dan minda untuk menempuh segala suatu dalam hidupku. Segala kurang dan lebihnya aku terima sebagai suatu nikmat yang akan aku hargai dan syukuri.InsyaAllah. Terima kasih ya Allah kerana memberikan aku satu kehidupan... Alhamdulillah.

Wednesday, March 9, 2011

Di landai pantai rasa

Di landai pantai rasa
seorang gadis memeluk damai senja
ada duka dihantar angin
membias dingin di teluk hatinya.

Di damai senja itu
seorang gadis membelai halus rambut
ada pedih dititip bayu
bersama redup resah hatinya.

Di tiap lurus halus rambutnya
gadis itu melurut walang
membaur dingin senja dan resah hati
ada duka yang membisik keluh
yang pergi entahkan kembali.

Dibiarkan angin menolak rindu
membawa resah menjauh
menyepi dan terpisah jauh darinya.

Dia tahu
senja itu akan membalut rapi
harap dan mimpinya
sendiri.

Noor Jaafar
04 Mac 2011

Friday, February 25, 2011

RINDU SETENGAH MATI

Rasa hati yang diungkap dengan begitu indah...

Thursday, February 17, 2011

Amarah...

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera...

Andai kata aku tidak memikirkan setiap apa yang ingin kukata...pasti sudah berbakul @##%^^&**((@###!!!!!. Namun, aku bersyukur kerana aku masih boleh mengimbangi rasa hati dan akal budiku.Alhamdulillah.

Terkadang...aku juga bagai ingin menjerit (menengking barangkali..)Tapi, sekali lagi kesantunan yang berakar umbi dalam diri tidak mengizinkan aku berbuat begitu.

Terkadang...aku terasa penat menjadi orang sebaik aku (peerrrggghhh!!! perasan habis) Penat kerana setiap satunya tidak sesedap rasa. Namun aku bersyukur, sekurang-kurangnya aku masih tahu adap susila. Kehebatan hidup tidak sepatutnya menghakis akal budi. Malanglah mereka yang menjangka dengan kebiadapan itu mereka seakan hebat berbanding orang lain.

Tetapi, biarlah mereka dengan dunia mereka. Cuma sesekali apabila mereka mengganggu ekosistem kehidupan aku, aku pastinya tidak duduk diam. Namun, orang bijak akan mendepani setiap satunya dengan kebijaksanaan dan bukannya dengan emosi yang keterlaluan.

Maka dalam kemarahan ini, aku bersyukur kerana Tuhan menguji aku dengan cabaran ini. Sekurang-kurangnya aku tahu yang aku masih sedar diri...masih diri aku sendiri. Aku berdoa mudah-mudahan aku diberikan kekuatan untuk terus berlapang dada menempuh setiap satunya yang menguji kesabaranku. Mudah-mudahan Allah berikan aku kekuatan. InsyaAllah...

Tuesday, February 1, 2011

Tidak semua...

Tidak semua yang kita mahu
mampu kita lihat dengan mata.
Tidak semua yang kita inginkan
boleh kita dengar dengan telinga.
Tidak semua boleh kita halusi dengan pancaindera...

terkadang kita merasa dengan hati
terkadang kita menghayati dengan jiwa
terkadang kita menyelami dengan mimpi
terkadang kita mengerti hanya dengan memahami
terkadang sekadar ada juga memadai...

Tidak semua sanggup merasa pilu
kala merindu
Tidak semua sanggup bertahan
kala berjauhan
Tidak semua mahu merelakan
satu kehilangan
cuma terkadang tidak semua
mampu kita acuhkan...
tidak semua...

Monday, January 31, 2011

Pada malam...

Ku renung bulan
yang kelam di balik awan
ku renung bintang
yang sinarnya semakin terang
...pada bulan ku lihat sendu
...pada bulan ku menatap sayu
...pada bulan ku ternampak keliru
...pada bulan ku terbayang ragu
itukah aku?

Pada bintang ku lihat terang
pada bintang ku tatap sayang
pada bintang ku ternampak bayang
pada bintang ku harap pandang
...itukah aku?

...Pada malam aku bicara
tentang bulan, bintang dan cinta
...pada malam aku bercerita
tentang dirimu, aku dan dia
...pada malam ku luah rasa
tentang duka, tentang lara

Gelap pekat menemukan aku padaMu
suara bulan
kilau bintang
dan sinar terang di hujung jalan

kususun langkah
mencari jalan pulang...

Monday, January 24, 2011

Hanya angin

Hanya Angin...

Hanya angin ...
yang menyapamu
lewat waktu yang berlalu.

Hanya angin ...
yang menitip rindu
lewat sepi yang bisu.

Hanya angin ...
yang menemanimu
lewat mimpi sayu.

Hanya angin jua
yang membisik ragu
kala aku mengenangmu.

Tuesday, January 18, 2011

Bintang...

Kekallah menjadi bintang di langit..

Thursday, January 13, 2011

Senyum dan tangis...

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera.

Sudah masuk minggu kedua dalam tahun 2011. Meski baru sekejap, pelbagai kisah sudah dialami. Pastinya kisah itu pelbagai...kan? Aku sentiasa berdoa mudah-mudahan kehidupan kita semakin baik. Hari ini lebih baik dari semalam dan esok pula lebih baik dari hari ini. Hasrat yang sangat klise...

Apapun, ternyata hidup ini suatu yang terkadang memang tidak mampu kita jangka. Seketika aku terleka. Aku riang dan ketawa bagai kegembiraan itu milikku selamanya. Aku bagai terlupa bahawa lawan ketawa itu menangis.

Maka...akhirnya aku menangis. Kegembiraan itu jugalah yang menghantar duka buatku. Ketawa itulah juga menjadi airmata di hatiku. Namun, aku bersyukur kerana aku masih boleh mendepaninya. Meski sakitnya berbekas, tapi aku tahu hidup perlu diteruskan.

Tidak ada apa yang perlu dikesalkan. Sesungguhnya inilah kehidupan. Aku pasti kelukaan itu mengajar aku untuk lebih berhati-hati. Kelukaan itu juga membentuk aku untuk lebih kuat...InsyaAllah.

Pada saat aku terluka, aku masih besyukur kerana aku telah diberi peluang untuk ketawa. Kegembiraan itu pastinya membahagiakan. Dan kedukaan itu masih tidak mampu memadam kegembiraan yang seketika itu. Namun, kegembiraan itu juga tidak dapat menutup kelukaan itu. Maha suci Allah yang memberi aku peluang untuk bangkit dari lena yang panjang. Alhamdulillah.

Selepas ini, pasti akan ada lagi dugaan dan cabaran yang bakal mewarnai hidupku. Pelangi petang meski mengasyikkan, pasti pergi jua. Sehebat mana mentari, sinarnya pasti sirna jua kala malam melabuh tirainya. Segelap mana pun malam yang kelam, esok pasti datang dengan seribu seri. Begitulah...

Semoga aku diberikan ketabahan, kekuatan dan kelapangan hati dalam menempuh kehidupan ...InsyaAllah