BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Sunday, November 20, 2011

Sabarlah hati

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera, Ada orang kata, buat baik berpada-pada dan buat jahat jangan sekali. Hari ini aku mengingatkan diri sendiri agar jangan sesekali lupa akan kata-kata hikmat itu. Ikut hati, pasti masti. Ikut rasa, pasti binasa...begitulah. Ikutkan hati mahu saja aku menjerit-jerit dan menghadiahkan sebakul sumpah seranah kepada mereka yang sudah terlalu sering menyakitkan hati aku. Namun, aku bersyukur kerana aku masih sedar diri. Walau luka di hati, aku tidak mahu menjadi insan 'seburuk' orang yang menyakiti hatiku. Biarlah. Ada orang berkata, aku bagai mangsa buli. Seorang yang bagai tidak berdaya menangkis segalanya. Hatiku terluka lagi. Namun, aku juga masih waras.We can't wash mud with mud right? Aku bukan merelakan diriku diperlaku semau mereka, tetapi sekali lagi aku memilih untuk tidak jadi seperti mereka. Aku yakin dan pasti bahawa sesungguhnya ALLAH itu maha mengetahui, maha adil dan maha mengasihi. Pastinya dugaan yang diberi ini masih mampu kutanggung meski dengan susah dan payah. Alhamdulillah kerana ujian-Mu, mudah-mudahan semua ini akan mengajar aku untuk lebih sabar dan tidak gelojoh mengikut kata hati. Bagaimanapun, aku juga punya hati budi. Aku juga punya akal fikir dan aku juga berhak untuk bertindak andai itu menjadi satu keperluan yang tidak boleh dielakkan. Maka aku akhirnya menetapkan satu had, satu garis yang kalau boleh tidak mahu kulangkah. Mungkin sudah tiba masanya aku membuat sesuatu agar 'manusia-manusia sempurna' ini melihat orang lain bukan hanya dengan mata, tapi juga dengan mata hati. Aku tidak mahu bermuka-muka. Aku juga sudah jemu melihat sikap mereka yang bagai ....(aku kehilangan kata-kata baik kala mengenangnya, dahsyat sungguh!) Salahkah aku menetapkan had dan jangkaan sebegitu? Aku sedang berfikir untuk berpada-pada dalam berbuat baik. Bukan bererti aku hendak berbuat jahat, na'uzubillah...aku cuma mahu berkata "Cukuplah". Aku tidak mahu berlaku buruk cuma aku berusaha mengelak keadaan daripada menjadi lebih buruk. Maka dengan itu, aku memujuk diri agar terus bersabar, bersabar dan bersabar. Andai kesabaran yang separuh itu juga aku sudah tak punya, maka aku aku tahu yang aku sudah melangkau garisanku.... Sehingga detik itu, berdoalah aku agar semua itu tidak bakal berlaku. Insyaallah