BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Monday, May 9, 2011

Perjalananku...

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera.

Malam ini genap seminggu aku berkampung di wad ini. Meneman anak kecilku yang manis pada saat-saat sukar dalam hidupnya. Sungguh pengalaman di satu sudut dunia ini mengajar aku erti kemanusiaan. Aku meyaksi kesakitan dan kedukaan. Aku melihat kelahiran dan kematian. Aku turut berkongsi senyum dan tangis. Aku turut menikmati saat-saat kesabaran dan keyakinan teruji.

Di hujung katil kecil ini aku melihat bagaimana kasihnya ibu dan juga bapa yang berjaga tanpa pernah lena kala mengharapkan kesembuhan anak yang tercinta. Aku turut berasa duka kala melihat anak kecil yang tidak terpeduli bahkan tidak pernah dibelai pada saat-saat kesakitan menghiris rasa. Aku bagai tidak percaya kala melihat wanita yang bagai hilang keibuannya apabila sabarnya hilang dicuri masa, ataukah dia memang lebih menyayangi kecantikan dan kebebasannya dari mengelap segala peluh, muntah dan darah anak yang belum mengenal dosa.

Di sini juga terbukti betapa kemanusiaan masih berharga. Tanpa kenal siapa dan dari mana, setiap susah dikongsi jua meski sekadar berkongsi termos dan minyak angin cuma. Meski sekadar berkongsi cerita, meski sekadar berkongsi duka dan kesedihan. Tanpa sedar ada hubungan yang terjalin antara hati-hati yang polos dan suci. Kala manyaksi wajah gembira yang melangkah pergi, ada sayu yang melilit di tangkai hati. Rupanya Tuhan masih mahu menguji kesabaran dan kesediaanku mendepani segala ranjau duri. Meski payah, namun aku reda. Inilah dugaanku.

Seminggu di sini aku bagai mengikat simpul mati dengan ahli keluarga dan teman-teman rapatku. Meski sekadar menjenguk dan bertanya khabar, itu sudah cukup memadai bagiku. Doa dan sokongan amat mahal harganya kala kita diuji dengan kepayahan. Namun aku bersyukur dan amat berterima kasih kerana ingatan dan doa yang kami terima masih belum ada hentinya. Tuhan memberikan aku nikmat kasih sayang yang amat aku hargai dan aku syukuri...alhamdulillah.

Ada yang bertanya bagaimana aku mampu menempuh keperitan sebegini. Hati ibu mana yang tidak luka kala anaknya diuji dengan kesakitan? Hatiku luluh tiap kali gadis kecilku menangis dan merintih. Tiap kali aku memujuknya untuk disuntik atau diambil darah, aku terasa bagaikan mahu menggantinya. Biarlah kesakitan itu diberi pada ibu, janganlah kesakitan itu diberi pada anak-anakku. Begitulah. Namun aku pasrah dan reda. Kami dipilih untuk diuji kali ini. Aku yakin bahawa Tuhan tidak menguji kita dengan sesuatu yang tidak mampu kita hadapi. Maka kupujuk hati dan mindaku agar bersabar dan reda akan ketentuan ini.

Alhamdulillah, selepas seminggu aku masih boleh bertahan. walau aku belum tahu bilakah masanya kami boleh pulang? tapi aku yakin esok pasti menjelang. Kupujuk anak kecilku agar bersabar, kupujuk hati sendiri agar reda, kupujuk semuanya agar terus sama-sama berdoa, mudah-mudahan ujian ini memberi makna yang tersirat buat kita semua. Mudah-mudahan juga gadis kecilku bakal diberikan kesembuhan yang tidak menyakitkan dirinya. Mudah-mudahan perjalanan kemanusiaan lewat kesakitan ini mengajar aku untuk lebih menghargai dan bersyukur. InsyaAllah...

Tuesday, May 3, 2011

Bagai ada

Bagai ada luka yang bisu
kala melihat airmata menitis
dari hati yang tulus.

Bagai ada rasa yang mahu pergi
kala mendengar rintih
lewat duka yang resah.

Bagai ingin kuganti tempatmu
agar gelisah dan pedih
tidak lagi mencuri senyum
dari bibirmu.







5.28am/030511