BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Wednesday, March 16, 2011

Kurang dan lebih...

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera...

Ada kalanya kita menganggapkan bahawa kitalah antara insan yang tidak bertuah di dunia ini. Kita juga cenderung melihat kepada 'kekurangan' kita berbanding orang lain yang punya segala 'kelebihan'. Aku juga tidak terlepas daripada perasaan yang sedemikan. Sebagai seorang manusia biasa, semua itu lumrah...kan? (Mungkin itulah juga yang menjadi penyebab kepada meningkatnya jumlah 'orang sakit jiwa' di negara kita.)

Aku cuba untuk tidak terlalu melihat kepada kekurangan. Hakikatnya? hati kadang-kadang sukar dipujuk. Ketika aku berasa bahawa aku ini kekurangan, aku cuba melihat di sekeliling...dan pasti ada insan lain yang juga memiliki sesuatu yang lebih kurang dari aku. Pada saat aku rasa aku tidak cukup, ada orang lain yang langsung tak punya apa. Itulah hakikat kehidupan. Tidak ada seorangpun yang diciptakan dengan segala kesempurnaan.

Aku selalu berpesan kepada diriku sendiri...hargailah setiap satu yang ada sebelum tiada. Kekurangan juga boleh menjadi suatu nikmat dan ubat kepada orang yang mahu berfikir. Ada yang berkata bahawa bercakap tidak semudah kita hendak melaksana. Memang betul! Namun kita tidak akan tahu selagi kita tidak mencuba untuk berusaha. Maka...daripada kita hanya berkata, lebih molek rasanya kalau kita mencuba dan berusaha untuk terus mencuba.

Aku selalu membayangkan...'kalaulah... aku boleh menjadi seperti orang lain', kemudiannya? aku terfikir di luar sana akan ada juga orang lain yang berkata..'kalaulah..aku boleh jadi seperti dia...' Ungkapan 'kalaulah...' itu seolah tidak akan ada akhirnya. Maka aku senyum sendiri, pada saat kita mahu menjadi orang lain, ada orang lain yang mahu menjadi seperti kita. Akhirnya? kita semua serupa! Manusia biasa yang tidak pernah puas dan ada kalanya seolah tidak tahu bersyukur! Benarkan?

Maka, aku dengan segala kekurangan yang ada pada diriku dan kehidupanku ini...amat bersyukur dengan setiap satu yang ada dalam hidupku tika dan saat ini. Andai kehidupanku ini berubah..aku pasti belum tahu bagaimana hendak mendepaninya. Aku pasti segala yang ada kini, itulah yang sebenarnya menjadikan diri ini sebagai seorang 'aku'...baik dan buruknya, itulah aku!

Mudah-mudahan saja aku terus diberikan kelapangan hati dan minda untuk menempuh segala suatu dalam hidupku. Segala kurang dan lebihnya aku terima sebagai suatu nikmat yang akan aku hargai dan syukuri.InsyaAllah. Terima kasih ya Allah kerana memberikan aku satu kehidupan... Alhamdulillah.

0 comments: